PEGAWAI penguat kuasa KPDNKK memeriksa produk tiruan dalam Op Barang Tiruan.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Menggunakan nama individu tempatan untuk mendaftar perniagaan sekali gus memonopoli perniagaan di ibu negara dengan menjual produk tiruan jenama terkenal.

Itu taktik warga Pakistan berhijrah ke negara ini yang menjalankan perniagaan di ibu negara dengan menawarkan pelbagai produk tiruan yang dibawa dari negara mereka.

Antara barangan tiruan dijual adalah minyak wangi, beg tangan wanita, dompet, tali pinggang, kasut, baju, jam tangan dan pakaian menggunakan jenama antarabangsa terkenal.

Bagaimanapun, kegiatan penjualan barangan tiruan warga Pakistan itu dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang merampas minyak wangi tiruan pelbagai jenama bernilai RM19,000 dalam Ops Barang Tiruan yang diadakan kelmarin.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, dalam serbuan di tiga premis menjual minyak wangi tiruan itu, pihaknya merampas 1,489 botol minyak wangi menggunakan jenama Chanel, Chance dan Chamele.

Katanya, semua barangan itu dibungkus menyamai produk asli dan dijual dengan harga antara RM100 hingga RM200 bergantung kepada saiz botol.

“Serbuan dijalankan bersama wakil jenama berkenaan di negara ini yang mengesan kegiatan tiga premis terbabit menjual produk tiruan menggunakan jenama mereka.

“Dalam serbuan itu, tiga pasukan dibentuk membabitkan kekuatan sembilan penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur yang bertindak menyerbu premis berkenaan serentak,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Shahran berkata, semua produk tiruan itu dirampas mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati premis terbabit dimiliki warga Pakistan namun mereka menjalankan perniagaan dengan menggunakan lesen individu tempatan.

“Difahamkan, warga Pakistan terbabit membayar sejumlah wang kepada individu tempatan sebagai persetujuan menggunakan nama mereka dalam pendaftaran lesen perniagaan.

“Bukan itu saja, mereka lazimnya akan memaklumkan konon hanya bekerja di premis terbabit dan tidak tahu menahu mengenai produk tiruan dijual.

“Namun, hasil risikan mendapati mereka sendiri adalah pemilik premis dan ada barangan tiruan berkenaan dibawa dari negara asal mereka di Pakistan selain diimport dari negara lain seperti China, India dan Vietnam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:49 AM