Nik Sukry Ramli dan T N Alagesh
cnews@nstp.com.my

Kuantan: Jeti pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kemunting, di sini yang beroperasi sejak 1998 banyak membantu nelayan di daerah ini meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Kuantan, Tuan Sulong Tuan Jusoh berkata, projek itu yang dilaksana menerusi dua fasa bukan saja memberi peluang kepada nelayan menjual hasil tangkapan terus kepada pelanggan, bahkan menjadi transit kepada hasil itu untuk dieksport ke negara Eropah.

“Saya sebagai wakil 1,260 ahli persatuan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Bukan setakat menyediakan jeti, mereka (kerajaan) memperkenalkan insentif dan bantuan seperti elaun sara hidup musim tengkujuh, subsidi diesel, insentif membaiki bot dan macam-macam lagi,” katanya.

Tuan Sulong berkata, sebelum ini, kebanyakan nelayan hanya memperoleh sekitar RM4 bagi setiap kilogram tangkapan memandangkan ia dijual menerusi orang tengah.

Katanya, sebaik jeti beroperasi, nelayan boleh menjual terus ikan kepada pelanggan dengan harga RM10 sekilogram.

Menurutnya, perbezaan harga dan pendapatan diperoleh ketika berurusan melalui orang tengah menjadi punca ramai nelayan berada dalam garis kemiskinan ketika itu.

“Bayangkan sekilogram saja kami rugi RM6, jika 100kg berapa banyak dia (orang tengah) boleh buat duit, sedangkan mereka tidak perlu turun ke laut.

“Apabila kerajaan memperkenalkan program jihad menghapuskan orang tengah, kami menyambut baik usaha itu,” katanya.

Selain jeti LKIM Kemunting, kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat menyediakan jeti pendaratan ikan untuk nelayan tradisional dan nelayan pantai di Kampung Balok, Kampung Peramu, Kampung Cherok Paloh dan Tanjung Api.

Sementara itu, diminta mengulas pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur, Tuan Sulong berkata, projek itu tepat pada masanya kerana keadaan trafik di jambatan lama menghubungkan Tanjung Lumpur dan Kuantan sudah terlalu sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 10:37 AM