ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK Negeri Sembilan memeriksa premis di sekitar Nilai 3, hari ini. FOTO ihsan KPDNKK
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


SEBANYAK 12 premis di Pusat Perniagaan Nilai 3 dan Taman Cempaka, Nilai, dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi hari ini.

Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, operasi membabitkan 14 anggota penguat kuasa KPDNKK itu dilakukan hasil aduan orang awam mengenai tindakan segelintir peniaga disyaki cuba mengaut keuntungan dengan melanggar peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, dalam operasi bermula 10 pagi itu, KPDNKK melakukan pemeriksaan terhadap 30 premis perniagaan di dua lokasi berasingan.

“Hasil pemeriksaan, 12 premis dikenal pasti melakukan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga, menggunakan alat timbang tamat tempoh penentusahan dan mengadakan jualan murah tanpa notis.

“Berikutan itu, kami mengeluarkan kompaun berjumlah RM4,450 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Ain berkata, pihaknya berjaya menghasilkan 56 kes dengan jumlah kompaun RM12,950 selain menyelesaikan 129 aduan daripada 190 aduan diterima.

Katanya, pihaknya memandang serius setiap aduan dikemukakan pengguna dan berharap pengguna melaporkan sebarang salah laku peniaga kepada KPDNKK Negeri Sembilan.

Beliau turut menyarankan pengguna menjadi ahli Friends of KPDNKK (FoK) bagi menjadi mata dan telinga kepada KPDNKK dalam memantau harga barangan serta menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 7:10 PM