Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


ORANG solat, dia pula mencuri. Itu dilakukan seorang remaja lelaki yang melarikan beg tangan seorang wanita warga emas ketika mangsa solat Maghrib di Masjid Kampung Tengah, Berapit, Bukit Mertajam, Jumaat lalu.

Namun, perbuatan jahat pembantu kedai itu mengundang padah apabila dia diberkas ketika sedang bekerja di sebuah gerai di Tanah Liat, 11.15 malam tadi.

Penahanan suspek berusia 19 tahun itu dilakukan selepas polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam masjid terbabit.

Dalam rakaman CCTV berdurasi 1 minit 7 saat itu, suspek berbaju hitam dan berseluar pendek dilihat berlegar-legar di kawasan ruang solat wanita dan cuba mencari barang berharga.

Suspek tidak menyedari wajahnya dirakam dengan jelas dan susulan daripada itu polis mengesannya selepas menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa berusia 66 tahun pada mulanya membuat laporan mendakwa beg tangannya hilang ketika solat di masjid terbabit.

Beliau berkata, mangsa memberitahu beg tangan terbabit diletakkan di hadapannya dan ia mengandungi wang tunai RM80, cermin mata serta telefon bimbit.

“Mangsa mengesyaki beg tangannya dicuri dan polis yang menerima laporan meneliti rakaman CCTV dan mendapati seorang lelaki melakukan perbuatan itu.

“Suspek kemudian dijejaki dan hasil siasatan awal dia mengaku mencuri beg tangan mangsa terbabit,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan polis merampas telefon bimbit dipercayai milik mangsa dan baju yang dipakainya ketika mencuri dalam masjid itu.

Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 8:26 PM
SUSPEK ditahan malam tadi selepas perbuatannya mencuri dirakam CCTV manakala telefon bimbit milik mangsa turut dirampas. FOTO ihsan polis