ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, Kuantan, yang ditemui pagi tadi. FOTO ihsan bomba
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


MAYAT dua rakan yang lemas dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, Kuantan, kelmarin, ditemui pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata mangsa, Muhammad Ikhbal Abu Bakar Chandran, 24, ditemui 7.45 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi dia hanyut.

Beliau berkata, mayat rakannya, Dola Kamarudin, 32, ditemui 10 pagi tadi kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dihanyutkan arus deras.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis sebelum dihantar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihentikan selepas kedua-dua mayat mangsa ditemui,” katanya.

Dalam kejadian 4 petang Ahad lalu, Muhammad Ikhbal bersama Dola dihanyutkan arus sungai yang datang secara mendadak sebelum hilang.

Mangsa bersama enam rakannya dikatakan menaiki van ke kawasan rekreasi itu pada 2 petang untuk berkelah dan bermandi manda di hujung minggu.

Difahamkan pengunjung lain yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu menyelamatkan mangsa, namun gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Berita berkaitan

'Semoga selamat ditemui'

'Dua rakan dikhuatiri lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 11:44 AM