Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my

PEMANDU GrabCar dihukum penjara 41 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang atas tiga pertuduhan mencabul, mengugut dan mencederakan seorang penumpang wanitanya, tahun lalu.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Izuwan Kamaruddin, 39, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Bagi pertuduhan mencederakan mangsa, tertuduh dihukum penjara 12 bulan, sementara pertuduhan mencabul kehormatan mangsa, dia dihukum penjara 14 bulan manakala 15 bulan penjara dikenakan bagi pertuduhan mengugut.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh jatuh hukum menjadikan tertuduh perlu meringkuk di penjara selama 41 bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Izuwan didakwa mencederakan mangsa yang juga seorang pelajar di sebuah kolej swasta berusia 18 tahun ketika kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula, bapa kepada seorang anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat mencabul kehormatan mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan ugutan dengan niat hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 506 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi, warna hitam, di Hutan Simpan Kompartmen 80, Hulu Langat, Ampang, pada jam 11.45 pagi, 11 September 2017.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman serentak kepadanya atas alasan isterinya baru keguguran anak kedua mereka selain perlu menjaga ibunya yang sakit tua.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana kegagalan tertuduh mengawal nafsunya menyebabkan pengadu kes ini menjadi mangsa.

Selain itu, Raihanah memohon mahkamah mengambil kira kesakitan, trauma dan kesan pada emosi dan fizikal mangsa.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah memesan GrabCar dari kolejnya untuk pulang ke asrama. Dalam perjalanan, tertuduh menukar haluan sebelum membawa mangsa ke lokasi yang tidak diketahuinya.

Tertuduh kemudian memberhentikan kereta lalu menerkam mangsa yang berada di tempat duduk belakang dan apabila mangsa meronta-ronta, tertuduh menumbuknya di dahi dan kepala serta mencekik leher wanita itu.

Tertuduh turut mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya tidak mengikut cakapnya dan mengarahkan mangsa untuk duduk di hadapan tempat duduk penumpang.

Mangsa telah mengikut kehendak tertuduh dan lelaki itu telah bertindak memegang paha dan dada mangsa. Mereka kemudiannya telah menuju ke sebuah hotel di ibu kota.

Tertuduh telah membawa mangsa ke sebuah hotel di Setapak dan setelah tertuduh memberhentikan keretanya, mangsa terus turun dan melarikan diri menuju ke sebuah bengkel yang berdekatan untuk meminta bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 4:48 PM