Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

DUA pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu direman selama empat hari sehingga Khamis ini selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang pemilik kilang kayu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 59 dan 58 tahun masing-masing yang bertugas sebagai pegawai penyiasat dan penolong penyiasat dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff.

Suspek direman bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Salah seorang pegawai Jabatan Perhutanan Terengganu yang ditahan reman. FOTO Imran Makhzan

Sebelum ini, dua suspek ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Kampung Gong Medang, Besut dan Pejabat SPRM Terengganu masing-masing pada jam 12.25 tengah hari dan 6.10 petang semalam dalam operasi Ops Twin.

Suspek ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima rasuah RM20,000 daripada pemilik kilang kayu pada 2015 bagi tujuan melepaskan dua orang anaknya daripada kesalahan memproses kayu haram yang dikeluarkan dari hutan simpan yang disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 1:56 PM