PENDUDUK FELDA Pasoh Tiga menimba ikan air tawar.
Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my


Jempol: Cuaca panas kebelakangan ini sehingga menyebabkan anak sungai hampir kering memberi rezeki tambahan buat penduduk FELDA Pasoh Tiga di sini yang menangkap ikan air tawar.

Menggunakan pam air untuk mengeringkan anak sungai yang hampir kering itu, kegiatan yang dilakukan bersama keluarga menjadi lebih seronok kerana dilakukan secara santai.

Penduduk, Sahran Siran, 44, berkata, dia menimba bersama tiga anaknya Mohd Norsyafiq, 19, Mohd Norsyamil, 16, dan Mohd Norshazriq, 7, serta dua rakan dengan mencari lubuk atau sungai yang hampir kering.

Katanya, apabila lubuk atau anak sungai ditemui, kerja mengeringkan dilakukan menggunakan mesin pam air yang mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung kepada kedalaman air.

KERJA mengepam air keluar giat dilaksanakan.

Sahran berkata, menimba dilakukan kebiasaan pada waktu petang hujung minggu selain bergantung keadaan cuaca.

“Mereka yang tinggal di kampung lebih sinonim dengan panggilan monimbo dan suatu ketika dulu memang jadi kegilaan golongan muda di kampung kerana selain mendapat ikan, kegiatan ini juga cara untuk bersosial.

“Jika ikut istilah, menimba menggunakan baldi atau timba namun mengambil masa berjam-jam untuk mengeringkan air, malah ia sangat meletihkan.

“Apabila guna mesin, kerja jadi mudah dan cepat. Namun kebiasaan air belum kering, mereka sudah masuk ke dalam sungai untuk menangkap ikan,” katanya.

Katanya, aktiviti itu juga dapat mengeratkan hubungan sekali gus mengisi masa lapang anak-anak dengan aktiviti berfaedah.

Mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya, Sahran berkata, zaman dulu kegiatan menimba sangat popular dalam kalangan penduduk tanah rancangan dan dia tidak pernah ketinggalan menyertainya.

HASIL tangkapan selepas air dikeringkan.

“Kini tiba giliran anak-anak saya pula merasai pengalaman itu biarpun menggunakan mesin.

“Ikan yang diperoleh untuk kegunaan sendiri dan diberi kepada jiran,” katanya.

Sahran berkata, anak ikan tidak diambil sebaliknya dilepaskan semula ke dalam sungai bagi mengelak kepupusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:49 AM