PAMERAN Manusia Peking di Muzium Negara menghimpunkan 117 koleksi sejarah dan kebudayaan manusia terawal di China.
Garret Dawum
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Fosil kumpulan manusia purba yang ditemui di Tapak Peking Man atau Manusia Peking membabitkan tengkorak, serpihan kranial dan gigi antara 117 koleksi dari Muzium Tapak Zhoukoudian China yang dipamerkan di Muzium Negara.

Pameran Peking Man: Tapak Warisan Zhoukoudian itu yang bermula 29 Mac hingga 16 Jun depan bertujuan meningkat dan memperkukuhkan jalinan kerjasama selain promosi pertukaran nilai budaya antara Malaysia dan China.

Pengunjung, Zalikha Ithnin, 23, berkata, dia teruja melihat pameran itu yang menunjukkan kebudayaan manusia terawal di China.

“Saya tidak berkesempatan berkunjung ke tapak Zhoukoudian di Beijing tetapi dengan adanya pameran seperti ini, saya dapat mengenali asal usul sejarah awal manusia Peking berusia 700,000 tahun dan cara hidup nomad yang diamalkan mereka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Tarmizi Mahmud, 35, berkata, sebagai peminat arkeologi, pameran terbabit adalah medan terbaik untuknya mengenali lebih dekat penemuan fosil di Zhoukoudian pada 1918 itu.

“Selama ini saya hanya melihat gambar atau melakukan pembacaan berkenaan perkara itu. Namun, sekarang saya dapat mengamati koleksi Peking Man yang turut membabitkan peralatan digunakan ketika memburu, haiwan yang hidup bersama mereka dan perkakas diperbuat daripada tanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, pameran terbabit diadakan sempena ulang tahun ke-44 hubungan diplomatik China dan Malaysia oleh JMM dengan kerjasama Muzium Tapak Zhoukoudian, China.


NUR Zahirah Firdaus, 6 (kanan) dan Mohd Zarif Fitri Firdaus, 5, melihat tengkorak pada Pameran Peking Man di Muzium Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:43 AM