Kereta Proton Gen 2 dipandu mangsa terbakar selepas kemalangan di Kilometer 111.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Sungai Petani, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


ANGGOTA polis maut manakala rakannya cedera selepas kereta Proton Gen 2 dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar di Kilometer 111.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Sungai Petani, hari ini.

Kemalangan 4.30 pagi itu turut membabitkan sebuah kereta Honda Civic dinaiki enam orang yang tidak sempat mengelak sebelum terlanggar kereta anggota polis terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, Koperal Abdul Rashid Ibrahim, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan memandu kereta terbabit bersama rakannya Koperal Salleh Yaacob, namun sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Kereta mangsa terbakar manakala sebuah lagi kereta yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar kereta itu yang berada di lorong kiri.

“Mangsa yang parah di kepala dan putus kaki kiri meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya patah tangan kanan dan kiri serta patah kaki kanan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saifi berkata, pemandu kereta Honda Civic Teoh Siak Seong, 35, cedera di kaki kiri, isterinya Wong May Wei, 30, cedera di kepala dan anaknya Teoh Enn Xi berusia empat tahun cedera di kepala.

Beliau berkata, tiga lagi penumpang yang juga ahli keluarga Teoh hanya cedera ringan dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 3:20 PM