SUSPEK bersama dadah yang dirampas. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN pernah 10 kali ditahan polis kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah, namun seorang lelaki dipercayai tokan dadah tetap tidak serik, malah terus melakukan kegiatannya itu.

Suspek yang menetap di Mukim Air Putih itu turut mempunyai rekod jenayah bagi dua rekod kes curi motosikal selain dua kes mencuri dalam bangunan.

Lelaki berkenaan ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paya Saga, Pendang, petang semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin pada 6.30 petang ketika suspek sedang duduk di dalam bilik tidur di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui sembilan paket plastik lutsinar (dalam keadaan bertaburan), tiga keratan straw lutsinar panjang berisi serbuk ketulan putih disyaki heroin dianggarkan seberat 50.94 gram (g) bernilai RM1,000 di dalam bilik itu.

“Kami turut menemui satu paket lutsinar berisi serbuk hablur jenis disyaki dadah jenis syabu anggaran beratnya 6.72g bernilai RM700.

“Selain itu, turut ditemui sebilah gunting, satu alat penimbang digital dan beberapa keping plastik lutsinar yang dipercayai untuk aktiviti pembungkusan dadah.

"Berikutan itu suspek ditahan bersama barangan kes yang dibawa balik ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut," katanya.

Fadzil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A akta sama.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati suspek positif morfin dan methaphetamine.

Menurutnya, sebelum ini suspek pernah ditahan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 (1 kes), Seksyen 12 (2) ADB 1952 (1 kes), Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 (6 kes) dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 (2 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:25 AM