Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan enam individu dalam lima serbuan di Kajang, Gombak dan Melaka bermula malam kelmarin serta merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10 juta.

Difahamkan, dadah seberat 141.27 kilogram (kg) yang dibungkus menggunakan paket serbuk teh itu dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan di pasaran tempatan oleh sindiket terbabit.

Pengarah JSJN Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan melalui Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang bermula jam 11.20 malam dan berakhir 12.30 tengah malam tadi itu turut mendapat kerjasama JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dan Melaka.

“Dalam serbuan pertama di Jalan Bukit Kajang, Kajang, kami menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai ketua sindiket. Serbuan kedua di rumah kedai di Jalan Tun Abdul Aziz, dekat Kajang pula kami menemui 120 bungkus dadah dianggarkan seberat 127kg.

“Susulan itu, kami melakukan serbuan di kondominium di Taman Sri Gombak, Gombak dan menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an bersama seorang wanita warga Thailand berusia 30-an.

“Turut ditemui 11 bungkus dan empat bekas dadah jenis syabu seberat 12.8kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudiannya membuat serbuan di Bukit Pulau, Melaka, sebelum menahan seorang seorang wanita dan ketika pemeriksaan turut menemui sepucuk pistol dengan dua kelopak peluru selain 90 peluru.

“Dalam serbuan ini, kami merampas tiga bungkus dadah seberat 25kg. Kami kemudiannya membuat serbuan di Klebang, Melaka dan menahan seorang lelaki berusia 50-an.

“Kami percaya dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran sebelum dipasarkan di negara ini.

“Semua suspek direman sehingga 5 April untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua daripada suspek mempunyai rekod membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:48 PM
MOHMAD (tiga dari kanan) melihat bungkusan syabu yang dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan Melaka pada sidang media di IPD Kajang, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli