KUMPULAN Kicau-Bilau menggunakan bunyi persekitaran untuk menghasilkan lagu.
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Muzik yang diperjuangkan mereka mungkin bukan trend masa kini bagi pendengar tempatan.

Namun, rasa cinta terhadap alam mendorong pasangan suami isteri ini nekad menghasilkan lagu Nusantara yang berkait rapat dengan kejadian alam. 

Nur Jihan Mohd Salleh, 23, berkata, penghasilan muzik Nusantara hasil idea suaminya Ahmad Irfan Md Razib, 24, awal 2017 lalu apabila bosan dengan muzik sebelum ini yang terikat dengan keperluan komposisi.

Katanya, mereka menamakan kumpulan ini Kicau-Bilau kerana muzik yang dimainkan tiada perancangan dan komposisi awal sebelum dimainkan tidak kira daripada aspek bunyian mahupun tarian.

“Sebelum ada muzik, kita memang disajikan dengan lagu alam seperti hujan, angin, daun yang bergesel, burung berkicauan dan hutan yang membuatkan jiwa semua orang dekat dengan bunyi alam. 

“Pemilihan tempat persembahan selalu dikelilingi keindahan alam seperti pepohon hijau dan sungai bagi memastikan suasana itu lebih seiring dengan muzik dihasilkan.

“Walaupun kami menggunakan beberapa alat muzik seperti angklung, gitar, seruling dan keyboard namun kami turut menggunakan kertas, balang kaca, daun dan kayu untuk menghasilkan kesan bunyi.


NUR Jihan dan suaminya, Ahmad Irfan.

“Bukan itu saja, malah kami gunakan bunyi persekitaran untuk kekalkan identiti tempat itu jika buat persembahan di situ. 

“Jika kami membuat persembahan di Melaka, kami gunakan air sungai Melaka sebagai bunyi dalam muzik dihasilkan.

“Sebab itu saya cakap kami berbeza, malah penari kami Nurul Najwa  Mohd Subri, 24, juga  bertindak balas terhadap bunyian dihasilkan tanpa perancangan,” katanya. 

Dia yang berasal dari Ulu Tiram, Johor berkata, mereka juga tidak sangka persembahan kumpulan Kicau-Bilau  di jalanan dan tempat awam ini dapat perhatian hingga negara luar. 

Katanya, awal 2018 Kicau-bilau membuat persembahan di Golya, Budapest, Hungary dalam acara kami sendiri dan seterusnya di Australia Performing Arts Market dengan sokongan daripada Cultural Economy Development Agency Malaysia (CENDANA).

“Kami terharu sambutan dari negara luar sangat meriah, malah kami lebih yakin muzik nusantara ini dekat dengan jiwa semua bukan saja rakyat Malaysia, tetapi orang luar.

“Persembahan muzik yang tidak menggunakan lirik, tetapi hanya bunyian ini dirasai dan difahami semua membatasi bahasa dan negara. 

“Namun, perancangan kami untuk kembali ke jalanan dan tempat awam kerana lebih dekat dengan masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Jelasnya, kumpulan Kicau-bilau baru saja melancarkan cakera padat (CD) pertama dalam majlis yang diberi nama Chakra Padat di Johor International Youth Hub, 24 Mac lalu.


Kumpulan Kicau-Bilau turut menggunakan peralatan tradisional untuk menghasilkan muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:22 AM