PETUGAS khas membuat persiapan akhir, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Selepas menarik lebih 100,000 pengunjung pada setiap lokasinya yang diadakan sebelum ini, Festival GegaRia 2018 #KitaOK, kembali menemui orang ramai di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, hari ini.

Festival gaya hidup dan hiburan terunggul anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu sudah pun memasuki edisi kelima dan selepas ini ia akan menemui orang ramai di Dataran Centrio Seremban 2, Seremban pada 7 April manakala penutupnya di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah pada 14 April depan.

Seperti edisi sebelumnya, Festival GegaRia kali ini turut dibahagikan kepada lima zon utama termasuk Zon Makan-makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

Beraneka juadah enak hidangan Food Truck, makanan segera mahu pun cita rasa tradisi boleh didapati di Zon Makan-makan termasuklah demonstrasi masakan, manakala Zon Throwback Tunnel pula mempamerkan gambar kenangan bertemakan kenegaraan sejak tahun 1950 yang dihasilkan jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan, perkahwinan, karier, media sosial, tips kecantikan dan fesyen, kisah kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tutorial mekap daripada panel jemputan terkenal seperti Dr Say dan Nana Al-Haleq, Chazynash, Faizdickie, Elfira Loy, Wani Kayrie dan ramai ramai di Zon Gaya Hidup # GegaRia yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Turut disediakan, sesi ramah mesra bersama Reen Rahim, Eyka Farhana serta Bunkface dan bagi yang membawa anak kecil, pertandingan mewarna turut diadakan pada sebelah pagi dengan penampilan istimewa Ejen Ali.

Selain itu, Festival GegaRia kali ini turut menyediakan perkhidmatan untuk masyarakat menerusi Zon Komuniti #GegaRia.

Sementara itu, zon paling menjadi tumpuan adalah tidak lain semestinya Zon Hiburan #GegaRia #KitaOK yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Pada sebelah pagi, orang ramai berpeluang menyertai senaman zumba di pentas utama sebelum menyertai pelbagai permainan fizikal yang disediakan seperti timbang takraw, ting-ting, congkak dan buih gergasi.

Bagi penggemar sukan elektronik, terdapat pelbagai permainan alam maya disediakan seperti Playstation 4, Nintendo serta XBOX Console manakala kolaborasi MyGameOn (MGO) dan Garena membolehkan pengunjung menyertai Fifa Online 3, sekali gus berpeluang memenangi wang tunai RM10,000.

Bagaimana pun, semua permainan fizikal dan elektronik ini akan berakhir jam 5 petang bagi memberi laluan kepada Konsert #GegaRia yang bakal disiarkan secara langsung bermula jam 4 petang.

Konsert kali ini akan menampilkan ramai artis popular tanah air antaranya IAMNeeta, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Bunkface dan Bittersweet.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan lagi festival berkenaan dan maklumat lanjut mengenai Festival Gegaria boleh didapati di laman Facebook, gogegaria atau Instagram @gogegaria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:02 AM