MOHD Asri Zainul Abidin
Muhammad Mustakim Ram li
m.mustakim@nstp.com.my

Kangar: Seseorang Muslim perlu segera bertaubat sekiranya merendah penciptaan Allah SWT dan menafikan hikmah ciptaan-Nya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebagai umat Islam, seseorang Muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan.

“Tidak boleh seseorang Muslim berkata, jika awak Tuhan...atau jika saya Tuhan...melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan Tuhan.

“Ini seperti jika awak Tuhan tak mungkin awak berjalan macam manusia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Mohd Asri, berkata sekiranya individu itu mengungkap dirinya seperti Tuhan individu tersebut perlu bertaubat.

“Namun mengungkap jika saya Tuhan, saya akan lakukan begini... atau jika saya Tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu... itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-Nya.

“Seakan-akan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik.

“Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu,” katanya.

Beliau berkata, Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaan-Nya.

“Dia juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia.

“Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan Tuhan,” katanya.

Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa namun difahamkan kenyataan Mohd Asri itu merujuk kepada Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) Sepang, Hanipa Maidin yang menimbulkan kekecohan pada sidang Dewan Rakyat kelmarin ketika berdebat mengenai undang-undang menangani berita palsu.

Kekecohan berlaku apabila Hanipa bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dari Barisan Nasional lalu berkata: “Kalau saya Tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).

“Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu,” katanya sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez.

Keterlanjuran Hanipa itu menimbulkan suasana gamat dalam sidang Dewan Rakyat dan menyaksikan Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bangkit dan menegur Hanipa untuk menarik balik kenyataan itu dan kembali ke jalan benar.

Hanipa bagaimanapun bertegas dia tidak melakukan kesalahan dan enggan menarik balik kenyataannya terhadap Abdul Azeez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 4:56 AM