KEBOCORAN paip air hingga berlaku kesesakan di Lebuhraya MRR2 arah Ulu Kelang ke Ampang. FOTO Halim Salleh
Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
cnews@nstp.com.my


DIANGGARKAN kira-kira 300,000 penduduk meliputi 63 kawasan perumahan sekitar Gombak dan Ampang, mengalami gangguan air sementara, susulan kejadian paip pecah di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Dataran Ukay, Hulu Kelang, hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira 5 pagi itu, berpunca daripada kerja naik taraf lebuh raya di situ, turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Ketua Bahagian Khidmat Pelanggan dan Komunikasi Korporat Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air akan pulih sepenuhnya secara berperingkat sebelum tengah malam ini.

“Bekalan air sudah mula pulih sejak siang tadi secara berperingkat, namun ada 33 lagi kawasan yang masih mengalami gangguan air sementara,

“Gangguan bekalan air ini adalah yang kedua terbesar dialami pengguna setakat ini. Kami mencuba sedaya upaya mempercepatkan proses baik pulih paip berkenaan yang dijangka siap tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Kawasan yang terjejas adalah Kampung Pasir; Taman Kelab Ukay; Taman Bukit Mulia; Taman Sering Ukay; Tinjani Ukay; Taman Ukay Seraya; Taman Ukay Tropika; Taman Beverly Height; Taman Bukit Jubina; Taman Pinggiran Ukay; seluruh Taman Bukit Antarabangsa; Taman Wangsa Ukay; Taman Bukit Mewah; Taman Bukit Utama; Taman Bukit Jaya; Taman Puncak Bukit Utama; Kampung Sungai Sering; Taman Villa Sri Ukay; Taman Sri Ukay dan Taman Hill View.

Kawasan lain yang turut terjejas adalah Bukit Madona Hulu Kelang; Taman Ukay Height; Taman Ampang Jaya; Kuala Ampang; Hotel Flamingo; Hospital Ampang Puteri; Taman TAR; Hill Side Estate; Kampung Dato Mufti; Taman Ampang Indah; Taman Bukit Indah; Taman TTDI Jaya Bukit Indah Ampang; Taman DAR; Taman Ampang Utama; Kampung Melayu Ampang; Taman Grandview Ampang; Kampung Baru Ampang; Bandar Baru Ampang; Apartment Mesra Ria dan Apartment Mesra Prima.

Kawasan lain ialah Apartment Mesra Villa; Taman Kosas; Taman Rasmi Jaya; Taman Uda Jaya; Taman Perwira Ampang; Taman Sri Ampang; Taman Watan; Taman Halaman Kesuma; Taman Dagang Permai; Taman Bukit Ampang; Kampung Muhibah Ampang; Ampang Waterfront; Aeon Big Ampang; Kampung Tasik Permai; Kampung Ampang Indah; Kampung Indah Permai; Kampung Ampang Campuran; Taman Faizura Ampang; Taman Permai Jaya Ampang; Kampung/Taman Tasek Tambahan; Taman Sri Bayu Ampang; Taman Sri Baru Ampang; dan Pasar Kampung Tasik Permai.

Kejadian itu mengganggu urusan harian penduduk kawasan yang terjejas, selain pengguna jalan raya yang berdepan kesesakan teruk ekoran limpahan air di atas jalan raya ekoran paip pecah .

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir, Mohd Rozi Yusop, berkata kawasan perumahannya mengalami gangguan bekalan air sejak tengah hari.

“Selepas solat Jumaat, kawasan perumahan saya sudah tiada air dan kami hanya bergantung kepada air tangki sahaja. Kami dimaklumkan bekalan air akan pulih 3 pagi nanti.

“Gangguan bekalan air ini menjejaskan aktiviti harian penduduk termasuklah ketika menguruskan jenazah seorang penduduk di sini siang tadi. Mujur bekalan air yang tinggal cukup untuk menyempurnakan proses memandikan jenazah,” katanya ketika dihubungi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ukay Bistari, Datuk Gazali Mohamad berkata, dia terpaksa mengambil cuti daripada bekerja ekoran kesesakan lalu lintas teruk akibat kejadian itu.

“Pagi tadi, saya tersangkut di dalam kesesakan trafik hampir sejam, hingga memaksa saya mengambil cuti. Jalan teramat sesak,

“Ramai jiran dan kenalan turut mengalami nasib sama dan lewat ke tempat kerja. Malah ada yang terpaksa kerja separuh hari.” katanya.

Berita berkaitan:

Paip pecah punya pasal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 11:11 PM