PAMERAN IFCEM 2018 diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang melabuhkan tirainya semalam.
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagi memberikan lebih keselesaan dan memudahkan anggota bomba bergerak ketika melakukan operasi, sebuah syarikat pengeluar peralatan kebombaan dari Jepun memperkenalkan pakaian keselamatan paling ringan di pasaran dengan berat hanya 2.6 kilogram (kg).

Baju dan seluar keselamatan itu yang sudah dipasarkan di Jepun buat pertama kali dibawa ke negara ini bersempena Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa 2018 (IFCEM 2018) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid (SPCC) di sini, yang melabuhkan tirainya semalam.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Jualan Shibata Asia, Ally Lim Sui Ying berkata, produk itu 10 kali lebih ringan berbanding pakaian keselamatan sedang digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mencapai berat 20kg.


PAKAIAN keselamatan ringan dengan berat hanya 2.6kg.

Ally berkata, baju dan seluar itu turut didatangkan bersama topi keselamatan yang diperbuat daripada bahan gentian kaca, menjadikannya lebih ringan.

“Topi keselamatan itu lengkap dengan kain pelindung leher bagi mengelakkan anggota bomba terdedah kepada bahang haba ketika operasi memadamkan kebakaran.

“Kami juga memperkenalkan sarung tangan menggunakan kain lebih fleksibel sekali gus memudahkan anggota bomba memegang hos atau menarik mangsa,” katanya.

Syarikat berpangkalan di Kapar, Klang, Selangor itu adalah antara 65 pempamer mengambil bahagian dalam IFCEM 2018 selain wakil United Kingdom, Singapura, Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.


ALLY menunjukkan topi keselamatan bomba yang diperbuat daripada gentian kaca.

Sementara itu, sebuah lagi syarikat juga dari Jepun tampil dengan produk makanan sewaktu kecemasan yang dihasilkan di negara itu dan menerima sijil halal dikeluarkan Nippon Asia Halal Association.

Wakil syarikat terbabit, Nami Tada berkata, pengiktirafan sijil halal diterima membolehkan pihaknya memasarkan produk itu ke negara Asia terutama Malaysia.

“Bahan asas makanan ini adalah beras, ia didatangkan dalam bentuk paket bagi memudahkan anggota keselamatan jika beroperasi di tengah hutan,” katanya.

Sementara itu, syarikat tempatan, Kejuruteraan Perkasa Zic Jaya pula memperkenalkan alat pengesan api dan asap yang diimport dari Australia.


SEKITAR IFCEM 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 5:17 AM