PENDUDUK dibawa ke penempatan sementara di Idlib.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) akan membantu 1,000 penduduk dari Ghoutah, Syria yang kini melarikan diri sejauh 300 kilometer ke Idlib di utara negara berkenaan.

Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care Nazmi Abdul Karim berkata, pihaknya akan melihat keperluan daripada aspek pakaian dan makanan memandangkan dua faktor itu penting untuk kelangsungan hidup rakyat Ghoutah.

“Untuk tujuan itu, kita memperuntukkan lebih RM50,000 untuk menyediakan keperluan pakaian serta makanan. Ia penting kerana kebanyakan pelarian terdiri daripada kanak-kanak, orang tua dan wanita.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, lebih 26,000 penduduk Ghoutah sudah tiba di Idlib untuk berlindung memandangkan situasi perang di wilayah terbabit sejak awal bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas hampir empat minggu wilayah Ghoutah menjadi sasaran pengeboman tentera rejim Bashar al-Assad, Nazmi berkata, lebih daripada 1,591 rakyat Syria dilaporkan terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.


KEADAAN penempatan sementara untuk penduduk wilayah Ghoutah.

Beliau berkata, penduduk di wilayah Ghoutah sudah beransur-ansur melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di wilayah lain yang kurang terjejas akibat peperangan.

“Kita akan menyalurkan bantuan ini menerusi rakan pertubuhan bukan kerajaan di Syria dan agihan dilaksanakan kepada penduduk wilayah berkenaan.

“Orang ramai boleh menyumbang menerusi Kutipan Dana Kecemasan ke Ghoutah, Syria menerusi akaun Muslim Care di Maybank (564490413882), Bank Islam (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717),” katanya.

Menurutnya, sumbangan orang ramai dapat meringankan sedikit beban penduduk wilayah berkenaan terutama kanak-kanak yang terjejas akibat kekurangan makanan bernutrisi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:23 AM
Skip this ad x