Hanipa (kiri) berkeras enggan menarik balik kata-katanya kerana menganggap tiada salahnya sambil merendah-rendahkan kewibawaan Mohd Khairuddin yang mahu memberikan dalil berkaitan kesalahan mengeluarkan ayat seperti itu. FOTO Ihsan BNBBC TV
Mohd Anwar Patho Rohman; Meor Riduwan Meor Ahmad; Hidir Reduan; Nor Ain Mohamed Radhi dan Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

KELANCANGAN Hanipa Maidin (PAN-Sepang) mengungkap kata-kata ‘kalau saya Tuhan’ menggamatkan suasana sesi petang Dewan Rakyat, hari ini.

Bibit kekecohan mula tercetus ketika Hanipa memberikan laluan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) untuk mencelah sambil memerli: "Orang bodoh-bodoh jangan lama eh".

Sebaik sahaja Abdul Azeez selesai berhujah supaya wakil rakyat pembangkang itu bersikap adil dengan tidak hanya membangkitkan perkara berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebaliknya perlu menyebut isu membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh), Hanipa yang juga seorang peguam berkata:

"Kalau saya Tuhan, daripada awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).

"Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu," katanya secara lantang sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez.

Tindakan itu sekali gus menghangatkan suhu perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar, selain menyaksikan kesepakatan beberapa Ahli Parlimen BN bangkit mengaminkan doa dibaca Abdul Azeez supaya Hanipa diberi petunjuk untuk bertaubat.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang bangkit mencelah ketika suasana dewan bertukar gamat cuba meredakan keadaan dengan menasihatkan Hanipa kembali ke jalan benar berikutan kata-kata itu.

"Apabila ada perdebatan secara keras membabitkan isu agama, bila kita menyebut, kalau saya tuhan, saya akan buat begini, saya rasa tidak cantik dan manis.

"Ini kerana Allah bersifat pengasih dan maha penyayang. Mungkin kesilapan kerana kita sedang berdebat, mungkin kita betulkan balik mengikut fakta agama.

"Itu nasihat tulus daripada saya tanpa sebarang niat jahat terhadap Sepang, sahabat yang saya sayang," katanya memberi isyarat supaya Hanipa menarik balik kenyataan berkenaan.

Hanipa menyanggah permintaan itu tidak perlu dituruti kerana menggunakan perkataan ‘kalau’ ketika menyentuh mengenai peranan tuhan ketika menyampaikan perbahasannya.

"Saya tidak akan menarik balik kenyataan. Kuala Nerus (Mohd Khairuddin) tak boleh pakai, kamu lagi saya tak hormat," katanya dalam nada cemuhan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika cuba meleraikan keadaan.

Mohd Khairuddin yang sebelum ini tampak tenang akhirnya gagal mengawal emosi apabila berkeras mendesak Hanipa menarik balik kenyataannya, selaras syariat dan akidah Islam, selain hadis Nabi Muhammad SAW.

Tanpa berfikir panjang, Hanipa lantas berkata: "Saya juga belajar agama, please lah (tolonglah). Saya tidak akan tarik balik kerana tahu apa yang dicakapkan.

"Diamlah, kepala otak kau," katanya ketika membidas teguran bertali arus Mohd Khairuddin yang hanya disifatkan sebagai cubaan menjual agama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 9:25 PM