KASMA yang patah paha kiri menerima rawatan di Hospital Daerah Tanah Merah, hari ini. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof
cnews@nstp.com.my


SURI rumah patah paha kiri akibat terjatuh dalam kejadian ragut di kawasan tempat letak kereta di belakang sebuah pasar raya di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah, kelmarin.

Dalam kejadian pada 3 petang, Kasma Azan Mustapha, 56, bersama kakaknya, Jawahir, 64, sebelum itu pergi ke pasar raya berkenaan untuk membeli barang keperluan harian.

Kasma berkata, selepas meletakkan kenderaannya, mereka berjalan menghala masuk ke dalam premis itu melalui pintu belakang.

“Ketika itu seorang lelaki muncul secara tiba-tiba dari arah belakang dan cuba meragut beg tangan yang disangkut di bahu kiri saya.

“Saya cuba menghalang tetapi terjatuh dan peragut itu berjaya melarikan beg tangan bersama seorang rakannya yang menunggu di dalam kereta Proton Iswara berwarna hijau dan bercermin gelap.

“Beg tangan itu mengandungi wang tunai RM400, dua utas gelang emas, telefon bimbit, kunci kereta dan Mykad," katanya ketika ditemui di wad Hospital Daerah Tanah Merah (HDTM), hari ini,

Kasma berkata, selepas terjatuh dia gagal bergerak kerana paha kirinya patah sebelum orang ramai memberi bantuan dan menghantarnya ke HDTM.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata dan membuatkan saya trauma serta berharap peragut terbabit dapat ditangkap dan mendapat pembalasan setimpal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 6:28 PM