KERETA Honda Jazz milik Inspektor Nur Syahirah Ahmad, 28 yang ditimbus tanah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan ITIS DBKL
Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


“SELURUH kereta saya dipenuhi tanah kecuali di tempat pemandu menyebabkan saya berjaya keluar dari kenderaan melalui tingkap dengan bantuan orang ramai," kata pegawai polis, Inspektor Nur Syahirah Ahmad, 28, yang terbabit dalam kemalangan di Bukit Jalil menghala ke Puchong, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, lori membawa muatan tanah hilang kawalan sebelum terbalik dan tanah berkenaan menimbus kereta Honda Jazz dipandu Nur Syahirah ketika berada di lokasi kejadian.

Menurut Syahirah yang bertugas sebagai pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori membawa muatan tanah dilihat seakan-akan menghimpit keretanya yang dipandu di lorong kanan.

"Saya pelik kerana pemandu lori itu membunyikan hon beberapa kali, namun tidak mengesyaki apa-apa. Beberapa minit kemudian, lori itu hilang kawalan sebelum tanah dibawa kenderaan itu menimbus kereta saya.

"Saya terus memberhentikan kenderaan kerana kereta dipenuhi dengan tanah kecuali di bahagian pemandu. Saya cuba untuk keluar melalui pintu kereta, namun gagal kerana dihalang tanah yang memenuhi kenderaan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Syahirah berkata, dia membuka tingkap di bahagian pemandu untuk keluar dari kenderaan itu.

"Memandangkan kereta itu dipenuhi tanah, saya hanya boleh keluar melalui tingkap di bahagian pemandu sambil dibantu orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

"Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta musnah sepenuhnya akibat kemalangan itu," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Trafik Jalan Bandar, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 7:08 PM