Haroni Suai, 61, rebah dan meninggal dunia ketika mengunjungi pasar sayur di dalam pasar raya Emart di Matang, Kuching. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


LELAKI tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di pasar raya besar Emart di Matang, Petra Jaya, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 7 pagi itu berlaku ketika mangsa, Haroni Suai, 61, dari Kampung Telaga Air, di sini, mengunjungi pasar sayur di pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhasan berkata, beberapa saksi di tempat kejadian mendakwa mangsa dikatakan mengadu pening kepala sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu katanya, pengawal keselamatan pasar raya berkenaan segera menghubungi Balai Polis Batu Kawa, memaklumkan kejadian itu.

“Sejurus menerima panggilan itu, polis segera ke lokasi dan menemui seorang lelaki terbaring dan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidil berkata, anggota paramedik dari Hospital Umum Sarawak di Kuching yang turut dikejarkan ke tempat kejadian, mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Anak mangsa yang tiba di tempat kejadian kemudiannya memaklumkan bapanya itu mengidap pelbagai penyakit antaranya darah tinggi, gout dan sesak nafas serta kerap mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan keluarga mangsa pula tidak mahu mangsa dibedah siasat kerana mengetahui masalah kesihatan yang dihadapinya selain tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:21 PM