ANGGOTA APM dan jururawat bersama bayi perempuan yang dilahirkan di dalam ambulans APM, semalam. FOTO Ihsan APM Perlis
Hafizudin Mohd Safar
cnews@nstp.com.my


WANITA melahirkan bayi perempuannya di dalam ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dari Titi Tinggi, Padang Besar, 11 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam APM Perlis Leftenan (PA) Mohd Rizuan Abd Gani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.45 malam untuk memindahkan pesakit dari Klinik Desa Titi Tinggi (KDTT) ke HTF.

Katanya, susulan itu, sebuah ambulans dari Pusat Kawalan Operasi APM Daerah (PKOD) Padang Besar dikejarkan ke klinik terbabit untuk memindahkan pesakit dengan diiringi tiga jururawat.

“Ketika dalam perjalanan ke hospital, wanita berkenaan mengadu sakit ingin melahirkan anak apabila ambulan melalui kawasan Beseri.

“Dengan bantuan tiga jururawat dan seorang anggota wanita APM, wanita berkenaan selamat melahirkan bayi perempuan di dalam ambulans berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibu dan bayi itu kemudian dibawa untuk pemeriksaan awal di Klinik Kesihatan Beseri (KKB) dan disahkan berada dalam keadaan sihat sebelum dirujuk ke HTF untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, ini adalah kes yang pertama kelahiran bayi dalam ambulans APM di Perlis untuk tahun ini dan kes yang sama pernah belaku beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 10:15 AM