ANGGOTA bomba membawa turun guru wanita yang cedera ketika menuruni Bukit Kutu.
HM Digital

Kuala Kubu Bharu: Seorang guru wanita berusia 23 tahun cedera apabila terjatuh ketika menuruni Bukit Kutu, di sini, bersama tujuh rakannya jam 2.30 petang kelmarin.

Mangsa, Wan Noor Syazwani Wan Safri yang juga guru sekolah swasta cedera pada bahagian belakang badan selain kaki terseliuh, sekali gus menyebabkannya lemah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, mangsa bersama rakannya mendaki bukit itu jam 7 pagi dan tiba di puncak jam 12.50 tengah hari kelmarin.

“Namun, ketika menuruni bukit jam 2.30 petang, seorang pendaki terjatuh dan cedera.

“Mangsa dibawa turun rakannya dan sebaik tiba di bawah bukit, mangsa hampir pengsan menyebabkan seorang rakannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima jam 9.50 malam kelmarin dan beberapa anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kedudukan mangsa dikesan pada jarak 11 kilometer dari kaki bukit di Kampung Orang Asli Pertak, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:00 AM