FOTO hiasan
Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


TIGA penjenayah melepaskan dua das tembakan dalam kejadian samun di sebuah pasar raya mini di Taming Jaya, Kajang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.45 malam.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati suspek melepaskan dua das tembakan dan salah satu daripadanya mengenai paha kiri pekerja lelaki pasar raya berkenaan berusia 20-an.

“Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri bersama perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM4,000 dengan menaiki kereta Proton Waja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, ketiga-tiga suspek berusia 40-an dipercayai menggunakan pistol semi-auto sembilan milimeter.

“Berdasarkan keterangan pekerja, dua daripada suspek memakai topi dengan salah seorang daripada mereka memegang pistol dan gari.

“Semakan terhadap nombor pendaftaran pada Proton Waja dinaiki suspek adalah palsu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, orang ramai yang menpunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superitendan Redzuan Mohd Salleh di talian 019-2714100 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 12:31 PM