MOHD Ismail (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada pegawai polis dan Imigresen Thailand pada Sambutan Hari Polis ke 211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


REMAJA lelaki, 16, ditahan pada Selasa lalu kerana disyaki merogol teman wanitanya, 13, sehingga disahkan hamil lebih enam bulan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek yang belajar di sebuah pusat kemahiran dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada doktor wanita dari sebuah klinik kesihatan di Bukit Kayu Hitam pada 3.45 petang memaklumkan membuat pemeriksaan terhadap seorang gadis yang hamil.

Katanya, pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa yang tidak bersekolah menunjukkan kandungannya dalam keadaan baik.

“Mangsa dikatakan datang ke klinik itu bersama keluarga dan teman lelakinya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Bagaimanapun, doktor yang merawatnya mengesyaki sesuatu mencurigakan kemudian menghubungi Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan merujuk pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Ismail berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa mengandung hasil hubungan seks suka sama suka dengan teman lelakinya yang dikenali sejak tiga tahun lalu.

Selain itu katanya, mangsa juga didakwa pernah beberapa kali melakukan hubungan seks di rumahnya ketika ahli keluarga termasuk ibu bapanya tiada di rumah itu.

“Berikutan itu polis menahan suspek lelaki dan direman lima hari sehingga hari ini dan dijangka akan disambung reman untuk membantu siasatan lanjut.

“Keluarganya juga dikatakan sudah berbincang dan bersetuju untuk mengahwinkan kedua mereka dengan segera,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Sementara itu, seramai 75 anggota dan pegawai serta orang awam menerima sijil dan surat penghargaan termasuk polis dan Imigresen Thailand yang disampaikan oleh Mohd Ismail.

Lapan daripada pegawai dan anggota IPD Kubang Pasu turut menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Kedah sebagai penghargaan jasa mereka selama ini.

"Selain itu itu kita turut menyampaikan surat penghargaan kepada dua wakil media dari Sinar Harian dan Harian Metro sebagai penghargaan mereka dalam menyalurkan maklumat berkaitan kes yang berlaku di daerah ini kepada orang ramai" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 12:25 PM