Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

Jasin: “Sekarang nak keluar malam pun tak takut lagi sebab sudah terang dengan lampu jalan,” kata penduduk, Azizan Ismail, 57, yang melihat sendiri perubahan Sungai Rambai daripada sebuah kawasan terpencil kepada lokasi tumpuan diterangi lampu.

Kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di situ menambahkan lagi kemeriahan kawasan Sungai Rambai yang baru diisytihar sebagai daerah kecil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 Mac lalu.

Azizan yang berasal dari Pahang dan menetap di Sungai Rambai sejak lebih 30 tahun lalu berkata, sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat besar dalam menyediakan sumber tenaga di situ, sekali gus menjadikan Sungai Rambai sebagai lokasi paling terang di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam daerah Jasin.

“Kemudahan juga banyak disediakan di RTC ini menjadikan Sungai Rambai sebagai lokasi persinggahan wajib untuk menjalankan urusan harian. Malah kini menjadi lokasi tumpuan pengunjung dari Johor yang memasuki Melaka,” katanya ketika ditemui.

Bagi nelayan, Abu Kassim Budin, 64, Jeti Pengkalan Lambak yang digunakan kira-kira 50 nelayan di situ, kini diterangi lampu jalan dan jeti seraya menjadikan kawasan berkenaan ‘hidup.’

“Pembinaan tiang elektrik ke kawasan jeti dan pemasangan lampu jalan banyak memudahkan urusan nelayan. Senang bagi kami untuk memunggah hasil ikan kerana diterangi cahaya lampu.

“Malah, kami juga lebih kerap berkumpul di jeti untuk bertukar-tukar fikiran sejak lampu dipasang,” katanya.

Bekas nelayan, Sia Leng Gan, 70, berkata aktiviti nelayan sekarang jauh lebih mudah berbanding dulu kerana terpaksa menggunakan lampu minyak tanah untuk pencahayaan.

Najib dalam ucapannya pada majlis itu turut memuji projek Lampu Jalan Kampung (LJK) kerana memberi manfaat besar kepada penduduk luar bandar.


NAJIB memalu gong sebagai tanda perasmian Majlis Pengisytiharan Daerah Kecil Sungai Rambai sempena lawatan sehari ke Melaka di Hentian Rehat dan Rawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai. Turut hadir isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Penghulu daerah kecil Sungai Rambai, Arif Umar, berkata terlalu besar perbezaan antara Sungai Rambai pada waktu dulu dan sekarang terutama dengan kewujudan RTC.

“Mungkin ramai tidak sedar peranan besar dimainkan TNB yang membekalkan tenaga untuk semua urusan berkaitan peralatan elektronik bagi membolehkan urus niaga atas talian selain lampu jalan.

“TNB yang juga berada dalam jawatankuasa mesyuarat kampung di sini sering menyelesaikan kesulitan dialami penduduk dengan segera selain membina pencawang masuk utama (PMU) bagi tujuan bekalan tenaga elektrik termasuk warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan kilang pengeluar kaca terbesar China, Xinyi Glass Holdings Ltd di Jasin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata sebanyak 257 kampung di negeri ini bakal mendapat manfaat projek LJK yang dilaksanakan TNB dan KKLW dalam tempoh lima tahun bermula tahun lalu.

“Sungai Rambai menjadi perintis projek pemasangan lampu LED ini bagi negeri Melaka. Ia (projek) memanfaatkan 14 kampung dalam daerah kecil ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 6:32 AM