Adib Povera; Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


SELEPAS berjaya menarik lebih 85,000 pengunjung pada tiga edisi sebelumnya, Festival GegaRia 2018 #KitaOK edisi keempat di Bulatan Amanjaya, Meru, Ipoh, hari ini berlangsung penuh meriah dan lancar dengan pelbagai aktiviti menarik.

Acara yang berkonsepkan moden, hipster dan penuh warna-warni yang terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Gaya Hidup, Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Komuniti dan Zon Hiburan, diserbu pengunjung sejak awal pagi.

Walaupun acara sebenar bermula 8.30 pagi dengan acara Zumba dikendalikan jurulatih kecergasan, Hanif Shawn namun perkarangan dataran itu sudah dipenuhi kira-kira 500 pengunjung sejam sebelum itu.

Turut ditampilkan sesi ramah mesra bersama watak animasi Ejen Ali, Bicara Fesyen bersama Nabila Razali serta beberapa sesi lagi bersama Faiz Dickie, Ramona Zamzam, Elfira Loy, Kugiran Masdo dan Nadia Brian.

Tidak mahu menjadikan hiburan semata-mata sebagai platform penganjuran, festival itu turut menampilkan Zon Throwback Tunnel yang mempamerkan gambar bertemakan kenegaraan yang dihasilkan jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP).

Selain itu, pelbagai acara lain turut mendapat sambutan pengunjung seperti timbang takraw, congkak, buih gergasi dan persembahan oleh Nabila Razali dengan lagunya Cemburu, Pematah Hati dan New Rules sebelum diakhiri dengan konsert pada sebelah malam

menampilkan persembahan daripada Kugiran Masdo, Bunkface, Sonaone dan Noh Salleh.

Festival kali ini menampilkan kelainan apabila Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut mengambil bahagian dengan memberikan pengetahuan kepada pengunjung mengenai inisiatif eRezeki dan eUsahawan melalui kempen #YOUCANDUIT.

Pengunjung, Sherry Ong, 24, berkata, pengisian sepanjang program itu bukanlah sekadar hiburan malah memberikan banyak input berguna kepada pengunjung, terutama di gerai pameran #YOUCANDUIT.

Katanya, selain itu, pemeriksaan kesihatan diri dan gigi percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga memberikan faedah kepada pengunjung untuk memastikan tahap kesihatan mereka.

“Saya membawa keluarga ke sini selepas melihat ia berjaya pada program di tiga tempat sebelum ini.

“Jika diadakan lagi di Ipoh tahun depan, saya akan hadir kerana dapat merasakan kemeriahannya dan seronok mengikuti aktiviti di sini,” katanya.

Zaharil Abu, 45, pula berkata, dia dan keluarganya datang ke Festival GegaRia 2018 kerana anaknya Zafira Azira, 15, mahu berjumpa dengan artis kegemarannya iaitu Nabila Razali dan Elfira Loy.

“Anak ajak ke sini dan apabila sampai saya merasakan kesesuaian lokasi dipilih ini (Bulatan Amanjaya) kerana mempunyai tempat letak kereta yang luas sekaligus memudahkan pengunjung,” katanya.

Turut hadir pada festival itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Talib dan Ketua Pengarang NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Sementara itu, Alfian berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan kehadiran pengunjung di Ipoh dan berharap sambutan sama akan diterima di tiga lagi lokasi penganjuran festival itu.

Katanya, tiga lokasi bakal diadakan festival itu ialah di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Kuala Lumpur pada 31 Mac diikuti Seremban, Negeri Sembilan (7 April) dan di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah (14 April).

“Di Ipoh ini, penganjurannya berbeza sedikit dari segi susun atur di mana gerai pameran memanjang berbanding petak sebelum ini.

“Diharap sambutan ini akan diteruskan di Kuala Lumpur (MATRADE) di mana ini pertama kali kita mengadakannya di ibu negara dan seterusnya di Seremban dan festival terakhir di Sungai Petani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 9:21 PM
PENGUNJUNG membanjiri Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. FOTO Abdullah Yusof