CABUTAN bertuah untuk pengunjung MBW2018. FOTO Saddam Yusoff
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


LEBIH 70,000 pengunjung hadir pada hari kedua Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018) yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Seawal 10 pagi deruman enjin daripada pelbagai jenis dan kapasiti motosikal mula memenuhi ruang pameran A dan kawasan sekitar pentas utama termasuk meriah dengan pempamer dengan produk masing-masing.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli merasmikan MBW 2018 diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Presiden GPMOTO.

Antara titahnya beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak menggunakan istilah ‘mat rempit’ erana bunyinya seperti sampah masyarakat dan samseng motosikal.

“Imej penunggang motosikal harus diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah serta saya cadangkan daripada ‘mat rempit’ kita tukar kepada ‘Brother Motor’.

“Ia bukan sahaja menggambarkan semangat perpaduan untuk semua peminat motosikal malah seperti satu keluarga harmoni,” titahnya ketika merasmikan MBW 2018 di MAEPS, Serdang, hari ini.


ANTARA aktiviti pada MBW2018. FOTO Saddam Yusoff

Sultan Ibrahim juga sempat melawat koleksi pameran beliau dan yang lain sebelum beredar pulang diiringi oleh Pengiring Bermotosikal Wanita Harley Davidson Istana Johor.

Konsert Rock Mentor juga akan diadakan di pentas utama pada sebelah malam dengan persembahan membabitkan artis popular tanah air seperti Ella, Datuk Awie, Black, Azlan Typewriter dan Akim & The Majistret.


PENGUNJUNG di gerai jualan pada MBW2018. FOTO Saddam Yusoff

Pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bernilai lebih RM500,000 antaranya ialah 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i bakal dimenangi setiap satu.

Pengunjung hanya perlu membeli baju-T MBW berharga RM40 dan akan diberi satu kupon untuk melayakkan memenangi cabutan bertuah yang ditawarkan.

Antara aktiviti menarik bakal berlangsung ialah peraduan mewarna kanak-kanak, Program JPJ Bersama Rakyat & Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) serta persembahan pancaragam berkawad.

MBW 2018 akan berakhir esok pada 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 6:54 PM