Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my

Shah Alam: Sebanyak 42 pelbagai spesies burung termasuk dilindungi diselamatkan pihak berkuasa dalam Op Terbang 1 yang diadakan sejak Selasa hingga semalam.

Antara burung dianggarkan bernilai RM30,000 yang diselamatkan dalam operasi dijalankan penguatkuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Selangor termasuk lapan spesies burung dikategorikan dilindungi sepenuhnya.

Ia membabitkan burung Merah Luris Leher, Daun, Merban Jambul Hitam, Scarlet-Baked Flowepecker, Orange-Bellied Flowerpecker, Sambar Bukit, Puyuh (Barred Buttonquail) dan Bukit Sambar Ranting.

PERHILITAN menyelamatkan dua spesies burung yang dikategorikan sebagai dilindungi iaitu burung Kicap Kunyit dan Murai Batu.

Pengarah PERHILITAN Selangor Abd Rahim Othman berkata, semua burung itu diselamatkan dalam tiga serbuan berbeza di Kuang, Gombak dan Rawang.


ABD Rahim menunjukkan burung yang dirampas.

Beliau berkata, spesies paling banyak diselamatkan ialah burung yang dilindungi sepenuhnya iaitu 26 ekor manakala bagi spesies yang dilindungi 16 burung.

“Semua burung ini diselamatkan di rumah berbeza melalui hasil risikan serta maklumat orang awam.

“Tiga suspek berusia 26 hingga 32 tahun yang dipercayai pemilik semua burung itu dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut.

“Kami percaya semua burung ini ditangkap melalui aktiviti pemburuan dan perdagangan hidupan liar secara haram,” katanya.

Beliau berkata, burung yang dilindungi sepenuhnya tidak boleh dikeluarkan dari habitat asal bagi tujuan perdagangan dan penjualan manakala mana-mana pihak yang mahu memiliki burung dilindungi pula mereka diwajibkan memohon lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:55 AM