PACUAN empat roda yang mengambil bahagian dalam Kempadang Sand 4X4 Challenge.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
am@hmetro.com.my

Kuantan: Kempadang Sand 4x4 Challenge yang berlangsung minggu lalu berjaya menarik penyertaan 40 peserta sukan permotoran lasak itu di Pantai Kempadang di sini.

Kejohanan dianjurkan Pahang Truckerz Resources itu berkonsepkan catatan masa terpantas dengan 20 kenderaan pacuan empat roda (4x4) mengambil bahagian.

Pengerusinya, Mohd Khairul Azwan Khairudin berkata, enam cabaran laluan berpasir disediakan penganjur dengan setiap satunya sejauh 500 meter.

“Untuk menentukan pemenang, masa dicatatkan pemandu 4x4 itu diambil kira. Mereka yang menamatkan enam cabaran dalam masa singkat diangkat sebagai pemenang,” katanya.

Mohd Khairul Azwan berkata, penganjuran kejohanan sukan permotoran lasak itu yang memasuki tahun ketiga dijangka diteruskan tahun depan pilihan lokasi menarik lain di negeri ini.

“Kami berharap untuk edisi pertandingan seterusnya ia dapat dianjurkan di Sungai Lembing, dua edisi sebelum ini dianjurkan di kawasan Pantai Sepat dan Pantai Kempadang.

“Selain mempromosikan sukan 4x4 di Pahang, kami juga mempromosikan kawasan pelancongan di negeri ini untuk pelancong luar,” katanya.

Mengulas mengenai pertandingan itu, beliau menyifatkan penganjuran kejohanan itu sebagai berjaya kerana menarik kehadiran ramai peserta berbanding edisi sebelum ini selain kehadiran 1,000 penonton pada dua hari penganjuran.

Katanya, pasukan Trekker 4x4 Ventures (TXV) dinobatkan pemenang dan membawa pulang wang tunai RM1,000 selain piala kejohanan, pingat serta sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 4:38 AM