Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria
cnews@nstp.com.my

Muar: Tindakan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menunda kapal korek yang terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa di sini, membolehkan dua penyelam memasuki ke bahagian dalamnya, petang semalam.

Penyelam terbabit berjaya masuk ke dalam kapal korek, JBB Rong Chang 8 itu menerusi bilik enjin kapal berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan Datuk Abu Bakar Idris berkata, ia dapat dilakukan selepas kapal korek berkenaan ditunda ke kawasan cetek iaitu kira-kira tiga batu nautika dari daratan.

Menurutnya, lebih memudahkan operasi SAR dilakukan selepas tiang menara kapal korek berkenaan patah ketika sedang ditunda menyebabkan proses pemotongan tidak perlu dilakukan untuk menstabilkan struktur kapal.

“Pasukan penyelam turut memasang sistem litar kamera tertutup (CCTV) pada bahagian dalam kapal bagi memudahkan pemantauan lanjut dilakukan.

“Kami berjaya mengepam masuk lebih banyak udara ke bahagian dalam kapal menggunakan mesin pemampat udara.

“Bagaimanapun, kami masih belum mengesan kedudukan sebenar semua mangsa terperangkap di dalam kapal berikutan terdapat banyak ruang dan saiznya yang besar.

“Kami berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa terperangkap dengan kadar segera,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi SAR Pantai Leka, Parit Jawa semalam.


Empat penyelam dari China dibawa menaiki bot PDRM ke lokasi kapal terbalik.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi kelmarin, seorang kru kapal korek berkenaan ditemui lemas manakala 14 lagi hilang manakala tiga lagi berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal itu jam 8.50 pagi.

Abu Bakar berkata, operasi SAR terus dilaksanakan tanpa henti sehingga semua mangsa ditemui.

“Kerja SAR akan terus dilaksanakan walaupun pada waktu malam, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Batu Pahat yang juga Komander SAR Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, operasi berkenaan dibantu enam anggota APMM, selain enam penyelam profesional.

“Operasi SAR dimulakan pagi ini (semalam) dengan proses mengepam udara bagi membolehkan penyelam TLDM memasuki bahagian dalam kapal daripada bahagian bawah,” katanya.

“Udara lebih banyak diperlukan bagi membolehkan sistem pengudaraan di dalam kapal kekal stabil untuk semua mangsa terperangkap.

“Usaha mengikat tali pada kapal berkenaan di bawah permukaan air juga turut dilakukan bagi memastikan kapal korek berkenaan kekal stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:03 AM