Anggota bomba membantu mangsa kemalangan Perodua Alza merempuh belakang lori yang diletakkan di tepi jalan susur keluar R&R) Ladang Bikam di Kilometer 347 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. (Gambar kecil) Allahyarham Nor Azirah. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my

LEBIH enam jam bertarung nyawa selepas terbabit kemalangan di Kilometer 347 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Ladang Bikam, dekat Tapah petang semalam, seorang wanita menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Nor Azirah Abdul Rani, 39, meninggal dunia pada jam 10.30 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.

Dalam kemalangan jam 4.05 petang semalam, Nor Azirah bersama bapanya, Abdul Rani Mustapha, 73 dan anaknya, Muhammad Amsyar Qushairi, 7, parah selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di tepi jalan susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ladang Bikam.

Kemalangan itu turut mengakibatkan dua lagi anaknya, Muhammad Naufal Ajmal, 12 dan Muhd Alfian Solehuddin, 16, serta ibunya Che Puan Hassan, 72, cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai ingin masuk ke R&R berkenaan dan merempuh lori terbabit.

"Akibat kemalangan itu, tiga mangsa parah manakala tiga lagi cedera ringan dan pemandu lori berusia 32 tahun tidak cedera.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pemandu berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital berkenaan pada jam 10.30 malam dan bedah siasat dijalankan pada jam 12.30 tengah malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dan sebaik tiba mendapati pemandu kereta tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan semua mangsa dihantar ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 7:06 PM