GAMBAR kenangan perkahwinan Farizon dan Kamaruzzaman.
Zaid Salim
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Lebih setahun berjauhan dengan suami, Farizon Engah mengaku kehidupannya sekeluarga ibarat layang-layang putus tali.

Suami wanita berusia 41 tahun itu ditahan kerajaan Indonesia sejak 16 April, tahun lalu dan hingga kini belum dibebaskan meskipun adik ipar serta rakannya dihantar pulang, Disember lalu.

Farizon berkata, dia mengharapkan suaminya, Kamaruzzaman Awi, 47, antara nelayan Malaysia yang dibebaskan hasil rundingan kerajaan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan, malah lelaki itu kini dalam tahanan di Rumah Tahanan Tanjung Pinang, Indonesia.

“Dia dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula Mac lalu. Ketiadaannya menyebabkan saya tiada tempat bergantung harap.

“Saya kini terpaksa menumpang di rumah kakak di Bukit Katil Permai, Melaka kerana tiada tempat tinggal,” katanya yang sebelum ini menetap dengan suaminya di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun.

Farizon berkata, sejak Kamaruzzaman ditahan, dia banyak meminta pertolongan keluarga yang tinggal di Gong Badak, Kuala Terengganu termasuk meminjam wang untuk diserahkan kepada suaminya di Indonesia.

Katanya dia tidak menyangka Kamaruzzaman dikenakan hukuman selepas kedua-dua kerajaan bersetuju untuk membebaskan tahanan pada November lalu.

“Saya gembira apabila suami akan pulang pada 11 Januari lalu, namun berita gembira itu berganti kecewa apabila dimaklumkan kepulangan suami terpaksa ditanggunhkan.

“Awal bulan ini pula, saya terima berita dia dihukum penjara di sana. Hanya adik ipar dan rakan mereka saja dibebaskan,” katanya yang kecewa impian menyambut Ramadan dan Syawal kali pertama sebagai suami isteri tidak kesampaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:26 AM