SULTAN Ibrahim berkenan menyampaikan replika cek RM1 juta kepada Mohamad Fuzi (dua dari kanan).
HM Digital

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan RM1 juta kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) bersempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-211.

Sultan Ibrahim turut berkenan melancarkan pelepasan 50 peserta Kembara Bermotosikal Rayuan TAWP 2.0 di Ibu Pejabat Kontinjen Johor di sini, semalam.

Turut berkenan berangkat, Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Zulkifli Abdullah; Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan gimik persembahan Kawalan Rapat Keselamatan Unit Tindak Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada majlis sama, Mohamad Fuzi turut mempersembahkan cenderahati Beret Kehormat UTK PDRM kepada Sultan Ibrahim.

Selain Sultan Ibrahim, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada TAWP, selain sumbangan daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta 40 syarikat, persatuan dan pertubuhan seluruh negeri ini.

Mohamad Fuzi berkata, sejak dilancarkan, TAWP sudah mengutip dana RM2.5 juta hasil sumbangan individu dan syarikat korporat.

“Saya mewakili PDRM menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas sumbangan Sultan Ibrahim kepada TAWP,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:54 AM