Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


ENAM individu termasuk dua bergelar Datuk direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah milik Kerajaan Selangor di Mukim Ijok.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Khir Nizam Jemari di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semua mereka berusia antara 34 tahun hingga 84 tahun itu ditahan di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di antara jam 12.45 tengah hari dan 4 petang, semalam.

Enam suspek berkenaan tiba di mahkamah kira-kira 9 pagi dengan tangan bergari dan berbaju lokap SPRM.

Antara yang ditahan juga termasuk dua beranak iaitu bapa dan anak lelakinya.

Penahanan reman enam individu berkenaan berkait dengan isu penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Penjualan tanah berkenaan menimbulkan banyak kontroversi, selain turut dipersoalkan pelbagai pihak termasuk peneroka.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad memaklumkan, siasatan pihaknya merangkumi penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima kira-kira RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta dan RM8.5 juta.

Susulan itu, katanya, pihaknya turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

Secara keseluruhan, pasukan penyiasat SPRM sudah membekukan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik semua suspek.

Gambar Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 9:36 PM
ENAM individu termasuk dua bergelar Datuk dibawa oleh pengawai SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor