MAYAT mangsa ditemui terdampar di pesisir pantai kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan lemas. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias
cnews@nstp.com.my


MAYAT mangsa terakhir tragedi tiga beranak lemas di Pantai Sri Telong, Bachok, semalam ditemui hari ini.

Mayat Wan Ukkasyah Wan Halem, 12, ditemui terdampar di pesisir pantai, 6.30 pagi tadi selepas hampir 16 jam dilaporkan hilang

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok,Assisten Superintendan Azmi Mokhtar berkata, mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa bersama bapa, Wan Halem Mustapa, 44, dan adiknya Wan Muzzammil,7, dilaporkan lemas.

"Mangsa yang lengkap berpakaian ditemui anggota penyelamat yang membuat rondaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar NSTP melaporkan kegembiraan lapan sekeluarga berkelah di pantai berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka lemas.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, Wan Halem dan dua anaknya Wan Ukkasyah dan Wan Muzzammil dikatakan cuba menyelamatkan seorang anaknya, Wan Umair ,11, ketika mereka mandi di pantai berkenaan.

Bagaimanapun, tiga beranak itu ditarik arus sebelum lemas.

Mayat Wan Halem dan anaknya Wan Muzzammil ditemui orang awam selepas kejadian itu.

Berita berkaitan:

'Tak sangka ajal mereka di pantai ini'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 8:57 AM