HM Digital

Ipoh: Kawasan Mahkamah Majistret dan Sesyen di sini, semalam sekali lagi kecoh apabila 36 individu yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng 04 pada 20 Februari lalu dibawa masuk untuk sebutan semula kes.

Semua kes di mahkamah berkenaan turut ditangguhkan sehingga jam 11 pagi bagi membolehkan prosiding kes kumpulan berkenaan berjalan.

Terdahulu 36 individu terbabit dibawa ke mahkamah jam 8.30 pagi dari penjara Tapah, Batu Gajah dan Taiping menaiki beberapa kenderaan polis dan penjara dengan dikawal ketat kira-kira 60 pasukan keselamatan membabitkan polis serta penjara.

Sebutan semula kes bermula jam 9 pagi di hadapan Hakim Murtazadi Amran dan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.


SEBAHAGIAN daripada individu yang didakwa menganggotai Geng 04 dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes.

Pihak pendakwaan kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baru untuk penyerahan dokumen yang belum lengkap dan izin pendakwaan bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Murtazadi menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan, semua 36 lelaki berkenaan didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 04 di dalam daerah Kinta antara 1 Januari 2015 hingga 27 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:10 AM