ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan pekerja warga Bangladesh yang sesak nafas selepas tersangkut dalam mesin pembancuh simen di kilang di Jalan Lahat, Ipoh, hari ini. FOTO ihsan bomba
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


PEKERJA lelaki warga Bangladesh sesak nafas selepas terperangkap dalam mesin pembancuh simen ketika sedang membaiki mesin berkenaan di sebuah kilang di Jalan Lahat, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, Akter Ali, 32, masuk ke dalam mesin itu untuk menjalankan kerja penyelenggaraan sebelum terperangkap.

Ketua Operasi Balai dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih, Omar Mahmud, berkata sebaik tiba di kilang terbabit pihaknya mendapati separuh daripada tubuh mangsa tersekat dalam mangkuk mesin pembancuh simen berkenaan.

"Difahamkan rakan sekerja cuba mengeluarkan mangsa, namun gagal dan mangsa mengalami sesak nafas.

"Bomba bertindak menarik tubuh mangsa perlahan-lahan keluar daripada mesin itu dan pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa," katanya.

Omar berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada 4.36 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 6:50 PM