KEADAAN kereta Honda dihempap pam minyak yang runtuh akibat dirempuh.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my

Melaka: Tertekan pedal minyak dipercayai punca Proton Saga dipandu wanita berusia 60-an merempuh stesen minyak di Ayer Molek di sini, jam 12 tengah hari semalam.

Terdahulu, wanita berkenaan bersama anak perempuannya berusia 20 tahun memasuki stesen minyak terbabit untuk mengisi petrol.

Saksi yang juga pekerja stesen minyak berkenaan berkata, ketika kejadian ada beberapa pelanggan sedang mengisi petrol manakala wanita terbabit berada dalam kereta sementara menunggu anaknya membuat pembayaran di kaunter.

“Tiba-tiba saya terdengar dentuman dan melihat pam minyak terbalik lalu menghempap kereta di pam bersebelahan.

“Kejadian berlaku pantas dan mujur tiada sesiapa tercedera,” katanya.


KERETA Proton Saga dipandu wanita warga emas yang merempuh pam minyak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 12.13 tengah hari, lapan anggota bomba termasuk komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Ismail dikejarkan ke lokasi.

“Tiba di lokasi, kami dapati sebuah Honda City dihempap pam minyak namun tiada sesiapa cedera.

“Kejadian berlaku apabila pemandu Proton Saga dipercayai tertekan pedal minyak lalu merempuh pam berkenaan.

“Kami menutup saliran pam bagi mengelak minyak mengalir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:06 AM