AHMAD Zahid bersama Putra Abdulaziz di Putrajaya, semalam.
HM Digital

Putrajaya: Malaysia dan Arab Saudi bersetuju memperkukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang anti keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud di sini, semalam.

“Kami membincangkan beberapa topik mengenai keselamatan bersama dan bersetuju memperkukuhkan kerjasama bilateral antara kedua-dua negara terutama dalam bidang anti keganasan dan jenayah rentas sempadan.

“Kedua-dua negara sebelum ini menandatangani Perjanjian Bersama Keselamatan pada 18 April 2011,” katanya dalam satu kenyataan selepas kunjungan hormat Putera Abdulaziz di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini.

Putera Abdulaziz dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke negara ini hingga hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menghargai hubungan kerjasama sedia ada dengan Arab Saudi.

Menurutnya, dalam memerangi ancaman jenayah rentas sempadan di rantau ini, Malaysia mementingkan hubungan dua hala yang akrab dengan negara di rantau Asia Barat.

Katanya, Malaysia terus meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:20 AM