LELAKI dipercayai penagih dadah antara yang ditahan selepas bertindak agresif dengan cuba melibas pedang samurai kepada empat pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung dalam serbuan di sebuah rumah di Simpang Dua, Setiawan. FOTO Ihsan AADK
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


LELAKI dipercayai penagih dadah bertindak agresif apabila cuba melibas pedang samurai kepada empat pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Manjung yang membuat serbuan di sebuah rumah di Simpang Dua, Sitiawan, hari ini.

Pegawai AADK Manjung Sharudin Abdul Salam berkata, ketika serbuan 7 pagi, suspek berusia 35 tahun pada mulanya tidur dengan beberapa senjata tajam seperti pedang samurai, pisau rambo dan pisau dapur.

Menurutnya, ketika pegawai mengejutnya, suspek yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa itu cuba melawan dan bertindak agresif.

“Apabila anggota cuba menahannya suspek cuba membuka sarung pedang samurai dipercayai untuk melibas anggota bertugas.

“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota yang dapat membaca gerak geri lelaki itu berjaya menyelamatkan keadaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sharudin berkata, turut dirampas senjata tajam yang didakwa disimpan hanya untuk suka-suka kerana meminati koleksi senjata tajam.

Beliau berkata, suspek adalah penagih tegar yang sudah terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak hampir 10 tahun lalu.

Selain itu katanya, pihaknya turut menahan remaja lelaki berusia 17 tahun di Kampung Deralik yang mendakwa baru berjinak-jinak dengan bahan terlarang itu.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kedua-dua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya yang turut berterima kasih kepada maklumat awam bagi mengekang gejala penagihan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 1:28 PM