Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


JURUWANG di Genting Highlands kerugian RM41,800 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Kejadian penipuan berkenaan bermula Sabtu lalu ketika mangsa yang berusia 43 tahun menerima satu panggilan yang mendakwa pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu mangsa ada memberi kad pengenalannya kepada seseorang untuk membuat sewaan kereta di Johor Bahru.

"Bagaimanapun kereta berkenaan terbabit dalam kemalangan dan pemandunya meninggal dunia. Selepas itu panggilan berkenaan disambung kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai Sarjan Peng Sai Hau.

"Lelaki yang menyamar sebagai anggota polis mendakwa seorang lelaki sudah memasukkan wang ke dalam akuan mangsa sebanyak RM21,000.00. Dia juga menuduh mangsa mempunyai perniagaan dengan lelaki berkenaan yang dikatakan turut terbabit dengan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan mangsa bersetuju.

"Mangsa diminta untuk memasukkan semua wang dalam akaunnya berjumlah RM41,800 ke akaun Maybank yang dikatakan milik peguam untuk kes itu.

"Pada Sabtu lalu, mangsa memasukkan wang sebanyak RM26,800 dan pada Ahad lalu, mangsa sekali lagi memasukkan RM15,000 ke akaun berkenaan di Maybank Genting Highlands," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa cuba menghubungi lelaki yang menyamar sebagai anggota polis tetapi tidak berjaya sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, semalam.

"Modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan kepada mangsa sehingga mendorongnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 12:05 PM