MOHD Hizamri (kanan) memeriksa balak yang cuba dipindahkan tanpa lesen di Hutan Simpan Chini Tambahan, Bera. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN pantas Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang mematahkan cubaan memindahkan 2,400 balak pelbagai jenis bernilai kira-kira RM3 juta di Hutan Simpan Chini dan Chini Tambahan, Bera.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, selepas menerima aduan daripada orang awam, pihaknya melancarkan Ops Ganyang disertai 20 anggota unit penguat kuasa diketuai Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasanya, Mohd Rahim Ramli selama tiga hari bermula Sabtu hingga semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui sembilan longgok balak sedia dipindahkan bersama tiga jentolak yang digunakan sindiket terbabit untuk melakukan aktiviti haram itu.

Katanya, siasatan mendapati ia dipercayai dilakukan beberapa individu berpengalaman luas melakukan kerja pembalakan hingga sukar dikesan pihaknya.

"Aktiviti pembalakan berlesen berhampiran tempat berkenaan digunakan sebagai helah bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan anggota penguat kuasa dan kakitangan Pejabat Renjer Hutan Bera.

"Saya memandang serius kejadian berkenaan dan usaha membendung aktiviti memindahkan balak tanpa lesen akan terus berlaku di negeri ini," katanya yang membuat tinjauan di lokasi kejadian di Bera, semalam.

Mohd Hizamri berkata, sindiket yang melakukan kegiatan terbabit hanya memilih kayu berkualiti dan mendapat permintaan tinggi di kilang papan seperti meranti, keruing, kempas dan merbau.

Beliau berkata, pihaknya kini melakukan siasatan menyeluruh kes berkenaan bagi mengenal pasti dalang yang terbabit untuk didakwa ke mahkamah mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984.

Katanya, unit penguat kuasa diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan kes terbesar tahun ini sebelum pihak terbabit sedia disabitkan dengan kesalahan dilakukan dan Unit Forensik jabatan itu turut dibawa untuk melengkapkan bukti.

"Bagi membendung kegiatan pembalakan haram di negeri ini, kami akan terus menggunakan sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) yang dibangunkan ibu pejabat selain dron.

"Peruntukan RM1 juta turut akan digunakan untuk memperkuatkan lagi penguatkuasaan

di peringkat negeri dan daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 11:17 AM