MAT Nawi Salleh, 62, menunjukkan gambar anaknya, Mohd Sazarim Mat Nawi, 31 bersama isterinya, Nur Aniisa Ismail, 27, yang maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru ketika ditemui di Bilik Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


“SAYA tidak tahu bagaimana untuk beritahu dua cucu yang ayah dan ibu mereka sudah tiada," kata Mat Nawi Salleh, 62, bapa kepada Sazarim yang maut bersama isterinya dalam kemalangan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, pagi ini.

Dalam kejadian 4.15 pagi itu, isteri Sazarim, 31, Nur Aniisa Ismail, 27, yang turut maut di tempat kejadian, difahamkan sedang hamil dua bulan.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bendang Pauh, Pasir Mas.

Kemalangan berlaku selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Pasir Mas hilang kawalan sebelum bertembung dengan Proton Waja yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu Proton Waja berusia 44 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan.

Mat Nawi berkata, anak dan menantu yang tinggal bersamanya di Kampung Sat Hulu, Tanah Merah, keluar dari rumah 1 pagi tadi untuk mengambil bekalan sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, di sini, sementara dua anak lelaki arwah berusia 11 bulan dan empat tahun, tidak ikut ibu bapa mereka kerana tidur.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anak saudaranya yang datang ke rumah 4.30 pagi sebelum terus ke hospital.

"Sebaik tiba di hospital saya dimaklumkan anak dan menantu sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HUSM, hari ini.

Mat Nawi berkata, sehari sebelum kejadian itu, dia sempat berbual dengan arwah anaknya itu dan dia tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Sehingga kini, saya tidak tahu bagaimana nak beritahu dua cucu Muhamad Amin Syahiran, 4, dan Muhamad Anas Akil berusia 11 bulan mereka sudah menjadi yatim piatu.

"Saya akan ambil tanggungjawab menjaga mereka berdua," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kereta Perodua Kancil itu dikatakan hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta Proton Waja yang datang dari arah Pasir Mas.

"Akibat perlanggaran itu pemandu Perodua Kancil tersepit dan penumpangnya tercampak keluar dari kenderaan . Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan

Ajal suami isteri bersama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 3:51 PM