KERETA yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17.6 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO ihsan Bomba dan Polis
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


SEORANG maut manakala enam lagi cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 17.6 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Rumah Pengasih Amanjaya, Gopeng, malam tadi.

Dalam kejadian 7.35 malam itu, kemalangan membabitkan Perodua Myvi dinaiki dua lelaki dan Proton Saga dinaiki lima sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan, 3.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan itu mengakibatkan penumpang hadapan Perodua Myvi, A Santhiran, 32, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang memandu, S Gunaseelan, 31, parah dan kini koma.

Menurutnya, lima sekeluarga beralamat di Sungai Manik, Teluk Intan yang menaiki Proton Saga mengalami kecederaan membabitkan pemandu Nurzeatun Anuar, 28; Anuar Zakaria, 64; Rahimah Mohd Isa, 59; Norlia Anuar, 26 dan Dhia Adieera Nizar Hamidi, 3.

"Siasatan awal mendapati Perodua Myvi dinaiki dua lelaki beralamat di Kampung Seri Jaya, Jalan Gopeng, Batu Gajah dekat sini dari arah Kampar ke Ipoh dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian dan melanggar pembahagi bahu jalan sebelah kiri sebelum terbabas memasuki ke laluan bertentangan.

"Pada masa sama kereta dinaiki lima sekeluarga dipandu Nurzeatun yang bekerja sebagai kerani di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar datang dari arah bertentangan dan gagal mengelak lalu bertembung kereta yang terbabas itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kong Soon berkata, akibat pertembungan itu Santhiran mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Gunaseelan patah kedua-dua kaki serta tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Nurzeatun cedera di kaki dan badan, bapanya Anuar mengalami kecederaan dalaman dan sesak nafas manakala ibunya patah kaki kanan dan adik perempuannya parah dengan kecederaan di muka selain seorang kanak-kanak perempuan mengalami luka di bahagian badan.

"Kesemua mangsa cedera dihantar ke HRPB manakala mangsa meninggal dunia dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat yang dijalankan 10 malam tadi," katanya.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan siasatan kes kini masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 10:05 AM