JEFRIDIN menyerahkan sumbangan kepada Siti Zubaidah untuk anaknya, Siti Nur Aaira Ameera.
Togi Marzuki
cnews@nstp.com.my

Pontian: “Kami berterima kasih kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) atas bantuan ini,” kata Siti Zubaidah Abd Jalil, 41, ibu kepada Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, bayi sembilan bulan yang menghidap penyakit hati.

Wanita yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Kelapa, Serkat, di sini, menerima sumbangan RM10,000 daripada rombongan LEGASI yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Sungai Kuali, di sini, semalam.

Ia disampaikan Pengerusi LEGASI Datuk Jefridin Atan.

Siti Zubaidah berkata, anaknya menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan dan terpaksa menjalani rawatan di Hospital Renji, Shanghai, China dengan kos RM250,000.

Beliau berharap dapat mengumpul sumbangan bagi menampung keperluan perubatan anaknya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana melalui sumbangan pelbagai pihak, kami dapat kumpul RM180,000 dan berterima kasih dengan LEGASI yang tampil memberi bantuan,” katanya.

Sementara itu, Jefridin berkata, kunjungan ke rumah keluarga Siti Nur Aaira sempena dengan Kembara Modal Insan LEGASI ke daerah ini.

Beliau berkata, ia bukan saja bertujuan menunjukkan keprihatinan LEGASI kepada insan yang memerlukan, namun mengajak masyarakat bersama membantu Siti Nur Aaira dalam meneruskan kehidupannya seperti kanak-kanak lain.

“Kita percaya inisiatif ini dapat meneruskan legasi kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.

Selain menyampaikan sumbangan, LEGASI turut menganjurkan Majlis Malam Amal di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, di sini yang turut dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Terdahulu, LEGASI mengadakan program di SK Seri Bunian, dekat sini, dan menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada pentadbiran sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 9:50 AM