PENDUDUK di sekitar Shah Alam mendapatkan bekalan air di Persiaran Selangor, Seksyen 16 berikutan gangguan bekalan air. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
cnews@nstp.com


BEKALAN air bagi penggana di enam kawasan di Selangor, dijangka pulih secara berperingkat mulai malam ini atau awal pagi esok.

Namun, proses pemulihan bekalan air bergantung kepada tekanan di sistem agihan, lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan danKomunikasi pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, Loji Rawatan Air Selangor Fasa 3 (SSP3) kini kembali beroperasi selepas ditutup sejak 6 Mac lalu bagi proses pembaikan.

"Loji berkenaan kembali beroperasi dengan purata kapasiti air sebanyak 830 juta liter sehari (JLH),

"Proses pengepaman bekalan ke Kolam Imbangan Bukit Tadun sedang giat dilaksanakan, seterusnya akan disalurkan ke sistem utama dan kolam-kolam perkhidmatan bagi proses pemulihan." katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, lima kakitangan Air Selangor dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) cedera selepas sistem mampatan udara di loji itu pecah.

Insiden berkenaan berlaku semasa persediaan untuk mengaktifkan semula pengoperasian loji selepas kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan.

Susulan kejadian, jadual pemulihan gangguan bekalan air terpaksa dilanjutkan dan menjejaskan kira-kira 563,622 akaun pengguna air di sekitar Lembah Klang.

Abdul Raof berkata, orang awam di kawasan terjejas boleh mendapatkan bekalan air di Pusat Khidmat Setempat selain sebanyak 24 pili awam yang sudah diaktifkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 8:36 PM