PUSAT 3S Harley -Davidson Petaling Jaya dilancarkan. FOTO Rohanis Shukri
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


MOTOSIKAL Harley-Davidson dari Amerika Syarikat melalui pengedar eksklusifnya di Malaysia Didi Resources Sdn Bhd merasmikan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) baru di Petaling Jaya, hari ini.

Berkeluasan 1,858 meter persegi, ia juga dilengkapi dengan ruang penyelenggaraan yang boleh memuatkan enam motosikal, alat ganti tulen, kerja mengetuk dan mengecat serta aksesori dan pakaian jenama Harley-Davidson.

Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo berkata, Harley-Davidson Petaling Jaya yang terletak di Gasket Alley dikendalikan oleh Goh Brothers Motorcycles yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri automotif.

“Lokasi ini bukan sahaja menawarkan pusat sehenti kepada peminat motosikal juga dilengkapi dengan café, fesyen gaya hidup permotoran serta ruang menunggu yang selesa,” katanya ketika perasmian.

Dalam majlis sama, empat model baru 2018 turut diperkenalkan iaitu Harley-Davidson Fat Bob, Breakout 114, Street Glide Special Anniversary, Ultra Glide Limited Anniversary yang berharga daripada RM128,000 hingga RM218,000.

Pemilik motosikal Harley-Davidson sedia ada juga dijemput untuk melakukan pendaftaran dan pengaktifan secara percuma bagi tujuan servis dan waranti tertakluk kepada terma dan syarat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:18 PM