PEMBANTU Hal Ehwal Islam Bahagian Dakwah JAIPk Mohammad Qayyum Khairuddin menyampaikan ceramah pada program CSR di PEKITA, Taman Kinta Perdana, Ipoh, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my


SESAK dan daif. Itu keadaan rumah Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang Tua-Tua Islam Titian Abadi (PEKITA) di Taman Kinta Perdana, Lahat, Ipoh yang menempatkan 25 penghuni warga emas.

Rumah kebajikan diuruskan secara sukarela oleh pasangan suami isteri itu berdepan masalah kekurangan dana bagi menampung keseluruhan perbelanjaan pengurusan melebihi RM10,000 sebulan.

Pengerusinya, Ahmad Wan Chik berkata, pihaknya memerlukan dana bagi menguruskan pembayaran gaji pekerja, bil elektrik dan air serta pelbagai perkara lain demi keselesaan penghuni.

“Beginilah keadaan rumah menempatkan 25 penghuni yang kebanyakannya sudah uzur. Ruang rumah begitu sempit, sesak, bilik air kecil serta tempat tidur mereka terlalu daif.

“Tetapi, setakat ini saja dapat kami sediakan dan kami sentiasa berusaha memberi keselesaan kepada warga emas yang tinggal di sini,” katanya pada program Sejenak Bersama, Terasa Selamanya anjuran Program Diploma Kewangan dan Perbankan Islam Politeknik Ungku Omar (PUO) bersama 40 pelajar program berkenaan di rumah kebajikan itu, hari ini.

Ahmad berkata, pengurusan perbelanjaan bulanan selama ini hanya bergantung kepada ihsan waris yang memberi sumbangan dan sumbangan individu prihatin.

“Kebanyakan penghuni di sini dihantar anak mereka, malah ada terus tidak datang menjenguk walaupun ibu atau bapa mereka meninggal dunia di sini dan kita terpaksa menguruskannya.

“Dalam keadaan kekangan kewangan kami terpaksa menghadapi pelbagai suasana di sini,” katanya.

Ahmad berkata, ketika ini pihaknya sangat memerlukan dana untuk mendirikan rumah baharu di tanah seluas 0.8 hektar yang sudah diluluskan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya sudah berusaha dan beberapa kali memohon dana daripada kerajaan negeri serta individu tertentu, tetapi sehingga sekarang masih tidak mendapat maklum balas daripada mereka.

“Kami sangat memerlukan dana untuk mendirikan rumah lebih baik bagi memberikan keselesaan kepada warga emas di sini,” katanya.

Sementara itu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan yang bermula sejak 8 pagi dipenuhi pelbagai aktiviti seperti gotong-royong membersihkan rumah kebajikan berkenaan, ceramah daripada pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pemeriksaan kesihatan percuma dari Klinik Kesihatan Menglembu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Perdagangan PUO Mazilah Abdullah, Ketua Program Diploma Kewangan dan Perbankan Islam PUO Aziah Abd Rahman dan Penasihat Kelab Diploma Kewangan dan Perbankan Islam PUO Armila Mat Lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 9:08 PM